Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahwa tidak akan masuk neraka orang
menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke
tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan
bahwa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat
beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk
dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada
rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi
Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada
Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan
sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya
Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka
dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada
Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin
Fulan sebab sehelai rambut."
Dalam sebuah kitab lain,
Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahwa pada hari kiamat nanti, akan
didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan
api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana
kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu
lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada
lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan
kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau
kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik saja mereka
menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan
apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahwa suara nyalaan api
neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu,
akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku,
diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja
yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan
besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka
jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya
dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak
orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi
hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun
dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat
Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat
Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan
Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah
air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan
menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.
Setelah itu
Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah
air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di
kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang
aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan
pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.
Telah
bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah
mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air
mata."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar